:: kekUaTan sEbuaH kEnanGan ::

Hijrah telah dilakukan…

Akhirnya, setelah lama berkira-kira untuk ke blogspot, maka lahirlah…

http://seteguhmemori.blogspot.com =)

Sudi-sudikanlah melawat ke sana ye…

April 5th, 2009 at 10:05 am | Comments & Trackbacks (2) | Permalink

“Awalnya ma bangun.. Dah siap masak pun? Wanginya..”

Lantas kepala ini dijengukkan ke dalam kuali. Ma hanya menggeleng melihat telatah saya.

“Mandi cepat. Subuh dah tak lama. Tapi sempat lagi kalau nak sembahyang hajat dulu.”

Lantas mata ini dihalakan ke arah jam di atas meja belajar.

“Ni ma dah panaskan air. Sejuk air tu nak mandi. Adik sedar tak hujan lebat semalam?”

“Yeke ma? Tak sedar langsung. Tidur mati.. heee.”

“Yela. Otak dah kerja kuat sangat. Dah, cepat sebelum masuk Subuh.” Ma mula menggesa.

Saya melangkah penuh kesejukan. Baru perasan akan kedinginan yang lebih daripada kebiasaan. Perlahan-lahan menyentuh air yang telah tersedia. Suam… Sangat selesa pada waktu yang sejuknya berjaya menyebabkan bulu roma saya berdiri dengan jayanya.

“Ma.. Adik tak nak makan telur masak separuh ni boleh? Nak makan nasi goreng ni je. Boleh?”

“Makan la sikit. Makan sampai boleh je. Bagi tenaga. Nanti semangat jawab soalan tu.”

“Ala. Nasi goreng ni pun dah terlebih semangat. Ma kan cakap nasi tu semangat.”

Saya mempamerkan gigi tanda memujuk ma. Bukan apa, saya agak kurang selesa dengan rasa telur masak separuh. Agak pelik bagi saya.

“Kena makan jugak sikit. Ma dah rebus ni. Tak kesian kat ma ke?”

Mendengar kata-kata ma, saya tidak menunggu lama, terus menghirup telur yang telah dicampur kicap itu. Licin! Hati ma takkan sekali-kali saya guris…..

*******************

Kenangan ini lah yang menyebabkan saya tidak mampu menjamah apa-apa makanan setiap pagi peperiksaan SPM. Mana mungkin saya mampu merasa kasih sayang penguat semangat daripada masakan ma sedangkan saya berada jauh dia SESTER(SM Sains K.Trganu). Sekotak kecik susu Fernleaf beserta suara ma di telefon. Hanya itu yang mampu melalui kerongkong saya. Saya tak mampu melangkah ke Dewan Makan sebagaimana kawan-kawan yang lain. Tiada selera. Saat coretan ini sedang ditaip, laptop saya ini sedang meluahkan lagu Untukmu Ibu. Nyanyian Mamat. Macam tahu-tahu pulak kan sesuai untuk jadi background music…Sudah terlalu lama lagu ini muncul, seingat saya ketika itu zaman saya baru memasuki alam persekolahan…

“Ampunilah dosaku sejak ku dilahirkan…

Hingga akhir hayatmu..”

Sungguh, saya benar-benar tidak dapat menggambarkan jika suatu hari nanti saya kehilangan permata hati nan satu ini.

‘Ya Allah, kau berikanlah peluang padaku untuk terus menggembirakannya semampu mungkin..’

**************

Peperiksaan PMR akhirnya sampai ke penghujungnya. Saya masih ingat, selesai sahaja kertas yang terakhir, kami (ma, akak dan saya) pulang ke kampung arwah ayah. Di Morak, Tumpat. Tujuannya? Merawat akak. Akak sakit teruk yang mana agak sukar untuk saya terangkan. Akak terpaksa quit daripada mengikuti kursus Jururawat Masyarakat di Taiping, Perak. Tak dapat saya gambarkan betapa deritanya akak. Satu demi satu tangga yang didaki runtuh.

Di sana, kami tinggal di rumah Pak Teh Mat (abg arwah ayah). Akak diubati di sana. Setiap malam ma berjaga. Saya yang masih muda belia pun tak mampu untuk melawan kekuatan ma bersengkang mata menjaga akak. Jika dulu ma menemani saya untuk mengulangkaji pelajaran, kini tiba giliran akak pula untuk ditemani. Waktu saya menghadapi PMR, akak dah sedia sakit. Tapi, sakitnya menjadi-jadi selepas itu. Itu juga adalah penyebab saya tidak ingin tinggal di asrama. Ma banyak merahsiakan tentang sakit akak ketika saya di asrama. Malah, saya tidak mengetahui apa-apa pun pabila ma ke Taiping dengan Pak Ngah untuk mengambil akak. Oh ibu.. Betapa kuatnya dirimu…

Di sana, setiap dinihari, saya mengikuti Makteh ke masjid. Masjid itu hanya bersebelahan dengan kawasan perkuburan, di mana jasad ayah disemadikan. Sangat syahdu bersembahyang Subuh di situ. Ma di rumah menjaga akak, tidak meninggalkan tanggungjawabnya walau sepintas lalu. Nekad saya makin kuat.

‘Ya Allah, kau kurniakanlah daku 9A. Aku terlalu menginginkannya…’

Sesungguh hati saya berdoa. Saya amat tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung ma dan akak. Lalu, saya memujuk diri sendiri. Allah ingin mengurniakan kebahagiaan yang hakiki di hadapan kami. Ya, ada kebahaagiaan yang menanti…..

Agak lama kami berada di Morak. Atok di rumah dijaga Maksu. Alhamdulillah ada Maksu, dan Muiz dah makin besar. Menjelang keputusan PMR diumumkan, saya pulang sendirian ke rumah. Ma masih tidak mampu pulang walau akak telah menunjukkan tanda-tanda semakin baik. Menaiki bas dari Kota Bharu, hati saya sudah mula berdebar kencang walau keputusan akan diumumkan esoknya… Saya singgah di bandar Pasir Puteh, membeli buah untuk si kecil Muiz. Buah anggur. Terasa sangat bahagia pabila menyuap Muiz yang amat menggemarinya.

Malam itu saya tak mampu melelapkan mata. Tak dapat saya agak apa keputusan yang akan saya genggam keesokannya. Yang saya tahu, saya telah lakukan yang terbaik. Namun, ada juga kertas yang saya rasakan agak mencabar….

***********

Keputusan PMR yang diperolehi akan saya sambung di episod akan datang… insyaAllah..

February 15th, 2009 at 9:10 pm | Comments & Trackbacks (0) | Permalink

Tubuh sudah terlalu letih. Namun, hati yang bergelumang dengan seribu rindu ini menggagahkan jari-jemari untuk mencoretkan sesuatu. Sudah beberapa kali saya cuba memejamkan mata. Jadual yang padat, benar-benar memaksa diri untuk betul-betul kuat melawan godaan makhluk laknatullah itu. Cuba untuk menyedarkan diri sendiri bahawa inilah lumrah hidup yang bernama perjuangan. Perjuangan yang tak seberapa jika dibandingkan dengan para mujahidah di Palestin yang sedang mara tanpa sekelumit rasa gusar… Lantas, saya makin memaksa dan memaksa diri sendiri untuk tidak terlalu memanjakan diri. Bukankah semuanya bermula dengan paksaan yang seterusnya menjadi kebiasaan???

*******

Sambungan coretan yang lepas…

Sebab ke-3… (dan yang paling penting bagi saya)

–> Saya ingin mensasarkan yang tertinggi untuk PMR. Ya, yang tertinggi. Saya mahu menggengam 9A. Saya sememangnya benar-benar yakin. Saya nak tandingi rakan-rakan sekelas yang sememangnya tak dapat lagi dinafikan kehebatannya. Hati saya terlalu ingin menggapai impian itu. Terlalu ingin. Mungkin keinginan saya melampau-lampau sehingga saya mula melakukan perkara yang tak pernah saya lakukan sebelum itu… MENULIS DIARI. Sehingga kini DIARI itu masih saya simpan. Masih saya bawa ke bumi Kuantan ini untuk sebuah kekuatan. Hari pertama persekolahan, dan tentunya permulaan tahun 2002 pada tika itu, saya coretkan di muka pertama sebuah DIARI…

6 Jan 2002: “Hari ni mula sesi persekolahan 2002. Alhamdulillah, aku masih kekal dalam kelas Juara-3 Juara. Ahli kelas aku seramai 29 orang aje. Teringat masa Darjah 6. Hari ni tahun yang penting bagi aku. Aku nak buktikan yang murid/pelajar di Dato’ Ismail boleh berjaya lebih cemerlang drpd Sek. Kamil. Aku nak sembahyang hajat & baca Yaasin every night supaya diterangkan hati utk berjaya dengan cemerlang. Aku nak pecahkan rekod 9A SMKDI. Insyaallah, aku kena berusaha lebih sikit. Ramai yang naik kelas. Lagi-lagi budak laki. Shahrul, Hazwan, Zulhilmi, Ikhwan & Faiq. Hisss.. Tak boleh jadi ni. Aku nak kekalkan prestasi aku. Sekurang-kurangnya top ten/top five student.”

Inilah bait-bait kata dalam DIARI saya. Saya memang menyalin sebulat-bulatnya. Tak mengapa, sekadar perkongsian, tak salah rasanya kan. Saya amat berterima kasih kepada nama-nama yang tertera di atas. Yang menjadi booster untuk saya. Tapi, nama-nama yang paling penting untuk saya tandingi pada tika itu ialah:

—–>Zainizam (kini di UTM: Engineering)

—–>Asmalina (kini di UKM: Education in Chemistry)

—–>Wan Nabil (kini di UiTM: Engineering)

—–>Izani (kini di UiTM: Education in Biology)

—–>Kak Nurul (kini di UKM: Education in Physics)

Terima kasih yang tidak terhingga buat insan-insan ini atas persaingan sengit buat saya. Namun, jika hendak dikira, kesemua rakan sekelas saya amat saya cemburui. Sentiasa bekerja kuat tak kira masa untuk terus study dan study. Untuk Bahasa Arab, saya sentiasa mencemburui Nabil. Anak murid kesayangan Ustazah. Pendek kata, cakap je nak tahu perkataan apa, mesti dia dapat terjemahkan ke Bahasa Arab. Dengan cermin matanya yang sesuai dengan identiti ‘budak genius’ sudah cukup untuk membuatkan saya rasa sentiasa tak senang duduk kalau tengok dia mula buka buku.

Kalau Nabil pakar Bahasa Arab, saya selalu memendam rasa melihat Izani yang sentiasa mendapat markah yang tinggi dalam subjek Sejarah. Macam mana lah agaknya dia boleh hafal cerita pejuang-pejuang sejarah dan pembukaan Tanah Melayu dengan terperincinya. Sedangkan saya masih terkulat-kulat menggali memori jika ditanya Cg Rokiah, dia dengan lancarnya memberikan jawapan.

Ama(panggilan buat Asmalina) dan Zainizam pula sangat hebat dalam menguasai subjek Bahasa Inggeris. Walau saya telah mencuba sedaya upaya untuk mempersembahkan esei yang terbaik dalam setiap kali ujian, markah saya masih tak dapat menandingi mereka. ‘Kena cuba banyakkan kuasai vocab baru dan hebat ni.’

Kerajinan Kak Nurul menyiapkan nota Geografi nya seawal mungkin sering membuatkan lidah saya kelu. Baru belajar Bab 2, dia sudah mampu menyiapkan nota sehingga Bab 4. Kak Nurul tinggal di asrama, maknanya masa study nya lebih fokus. Tidak ada TV sebagaimana saya yang tinggal di rumah. ’Aku dah tak boleh manjakan diri tengok TV lagi.’

Atas semangat melihat usaha keras insan-insan hebat inilah, saya bangun membina azam yang cukup tinggi. Ingin menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik. Kekurangan diri saya nafikan sebagai alasan untuk tidak mampu berjaya. Andai mereka punyai seorang bapa untuk menanggung segala keperluan mereka, saya tak pernah kurang dengan kekuatan ma yang sentiasa bekerja kuat untuk membesarkan saya dan akak.

Ingin saya buktikan di sini betapa kekuatan wajah seorang ibu yang semakin berkedut dimamah usia mampu mengatasi segala kepayahan dan kesusahan yang saya harungi. Walau terpaksa berhujan untuk ke sekolah, saya sanggup. Saya sanggup melangkah dengan gagah tanpa menoleh ke belakang. Tak akan saya sia-sia kan pengorbanannya… Inilah buktinya kekuatan seorang IBU yang menjalar di segenap slaur darah saya. Menjadi azam yang cukup hebat.

3.30pagi:-

- Saya bangun dengan mata yang segar. Kekuatan tekad untuk bangun mengulangkaji pelajaran sebelum melelapkan mata pada malam hari mengusir segala rasa malas. Menuju ke bilik air, menyucikan diri. Lantas, saya melangkah dengan berhati-hati ke ruang tamu yang gelap. Di situ, sejadah saya hampar. Saya tidak menggunakan ruang berdekatan dengan meja belajar. Atuk saya terbaring sakit berdekatan dengan ruang itu(al-fatihah buat arwah atuk). Saya tidak ingin mengganggu tidurnya. Di atas sejadah, saya menangis semahu-mahunya. Ustazah saya selalu berpesan, “Awak nak apa skali pun, doa lah. Doa banyak-banyak. Doa sungguh-sungguh. Nangis seikhlas hati. Air mata kita ni, bila gugur ke bumi dalam doa tu, insyaAllah Dia takkan tolak apa hajat kita.” Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga saya. Saya terlalu menginginkan 9A itu. Tak terungkap. Kerna saya tahu hanya itu yang saya mampu lakukan untuk menggembirakan hati Ma. Ujian Allah yang memberikan akak sakit ketika itu, tambah menginsafkan saya dengan ketabahan Ma. Menguruskan ayah dan anak yang sakit dengan ketiadaan seorang suami di sisi, hanya Allah yang tahu hatinya. Maka dengan itu, tangan ini ditadah, merayu umpama seorang pengemis. Mengemis kasih-sayang Allah buat hambanya yang kerdil ini… “Kabulkan permintaan hambaMu ini, Ya Allah..”

- Kemudian, saya melangkah ke meja belajar. Ternyata atuk masih lagi lena. Alhamdulillah, saya tidak mengganggu tidurnya. Sebuah buku saya ambil. Membukanya dengan membaca doa penerang hati moga diberi bantuan dalam memahami segala ilmu. Sedang saya asyik menelaah, Ma datang menyapa. Saya benar-benar tidak sedar bila masanya Ma berada di belakang saya.

“Ma tidur lah.” Saya tahu, Ma kepenatan.

“Tak apa. Ma teman adik kat sini. Banyak ke kerja sekolah tu?”

Saya tersenyum. “Kerja sekolah dah siap dah. Ni adik tengah baca balik apa yang adik blajar masa Tingkatan Dua dulu.”

Ma memandang saya dengan wajah yang sayu. Kepala saya diusapnya.

“Adik belajar rajin-rajin ye. Patutlah ayah pesan suruh ma jaga adik elok-elok dulu.”

Saya dapat lihat Mata ma mula bergenang…

“Ma, sedap je rasa kalau ada orang buat kopi O. Kopi ma kan sedap…”

Saya tersengih. Cuba berusaha mengubah fokus agar Ma tidak menitiskan air mata. Dalam hati saya ketika itu, Allah saja yang tahu.

Ma terus tersenyum melangkah menuruni tangga ke dapur. Tika itu, saya cepat-cepat mengesat setitis air mata mata yang tak dapat saya tahan. Bimbang Ma dapat mengesannya.

‘Betapa Ma terlalu merindui ayah.. Adik tahu, Ma. Kuatkan hatimu, ibu. Demi anakmu ini… Akan kucuba membahagiakanmu…’

{akan saya sambung sehingga ke detik-detik saya mendapat keputusan PMR nanti=)}

January 17th, 2009 at 8:29 am | Comments & Trackbacks (0) | Permalink

Walau tahun berganti-ganti kunjung tiba, namun manusia takkan pernah jemu menanti kehadirannya. Senyuman manis, wajah yang kelat, linangan air mata, malah seribu penyesalan berlalunya tahun yang ditinggalkan silih berganti menujah rasa. Walau berbeza kandungan hati kita, kita tetap berpijak di perut bumi dan beratapkan langit nun jauh di atas sana yang sama.

1 Muharram 1430..

1 Januari 2009..

Sama ada Muharram @ Januari yang ditunggu-tunggu, AZAM takkan pernah terlepas mengiringi detik kunjungan tahun baru. Mengingatkan saya akan kenangan yang lalu. Kekuatan azam yang saya miliki seawal 2002 menjengah.

Ketika itu saya masih di Tingkatan 3. Terasa cepat benar waktu berlalu. Muiz yang baru lahir pada waktu itu pun sudah hampir menjangkau umur 7 tahun. Tahun ini ke sekolah lah dia. Becok mulutnya bercerita tentang kasut, beg dan baju baru untuk persiapannya menghadapi alam persekolan tiap kali panggilan saya dijawabnya.

PMR…15 tahun… Umur yang sesuai(barangkali) bagi menyediakan seorang insan yang dipanggil pelajar untuk melangkah ke alam menengah atas. Maka, wujudlah Penilaian Menengah Rendah atau PMR singkatannya. Tapi, ada juga insan yang mengambilnya di usia 14 tahun. Insan yang dikurniakan akal yang bijak untuk melayakkannya melepasi ujian PTS(Penilaian Tahap Satu) atau ‘lompat kelas’. Sekarang, ujian ini dah dimansuhkan. Jadi, sekalung tahniah buat insan-insan bertuah yang berjaya melepasinya.. Azri-org kuat bermacam program:p, Hanisah-‘klasmate’ Allied, Abg Ngah-sepupu yang telah terbang jauh ke Ireland, Idah-‘skulmate’ di SESTER dan semua ‘orang lompat kelas’ di Malaysia..heeee J

Nekad dengan keputusan untuk keluar dari asrama SMK Dato’ Ismail menjelang 2002, saya tidak hadir untuk sesi pendaftaran para penghuni asrama. Natijahnya, saya dipanggil Umi (ketua warden aspuri) pada hari pertama persekolahan bermula.

“Kenapa awak tak datang daftar semalam, Sakini?”

“Emm… Saya dah tak tinggal kat asrama, Umi. Saya duduk rumah.”

“Amboi… Sape yang pandai-pandai bagi awak kelulusan keluar asrama nie?” Umi memandang tepat mata saya.

‘Alamak.. Habis la kali ni. Umi dah nak marah. Ya Allah, tolonglah aku…’ Saya merintih sendirian dalam hati.

“Saya baru je nak letak awak dalam biro Aspuri.” Umi masih tidak mengalihkan pandangannya.

“Umi, saya mintak maaf sangat-sangat. Saya sebenarnya nak teman Ma saya. Atok saya pun sakit sekarang. Dah tak boleh nak bangun. Kalau saya ada, saya bolehlah tolong ma jaga atok. Maaf ye Umi.” Saya memandang Umi dengan muka bersalah (muka seposen..heeee).

“Hmmmm… Kalau macam tu, saya nak buat macam mana lagi.” Umi mula merendahkan nadanya.

“Tapi lain kali, sekurang-kurangnya bagitahu la sepatah kat saya.”

Saya hanya tersengih tanda mengakui kesilapan saya.

*******

Sebenarnya, ada sebab lain juga yang mendesak saya mengambil keputusan nekad itu. Walau saya tidak berbohong pada Umi, namun hakikatnya tidak semua kebenaran saya rungkaikan. Antaranya:

1-Saya ingin lari daripada menyertai kumpulan nasyid. Sekolah saya amat aktif dengan kumpulan nasyidnya. Setiap tahun, pasti kami akan ke pertandingan peringkat negeri. Dan saya salah seorang anggota kumpulan (bukan solo ye..heeee). Apa yang menjadi masalah buat saya, latihan nasyid terlalu efektif bagi saya hinggakan kadang-kadang mengganggu waktu study saya. Untuk pengetahuan, semua ahli nasyid terdiri daripada ahli Aspuri. Maka, apabila saya tidak lagi menjadi penghuni Aspuri, dengan automatiknya saya tidak lagi menjadi ahli kumpulan. Heee…J Walau puas dipujuk Cg Hasnah(jurulatih nasyid @ kami panggil Mama), akhirnya beliau terpaksa mengaku kalah dengan pendirian saya.

2-Saya nak study di awal pagi. Waktu ‘prep’ di sekolah saya pada waktu itu bermula daripada selepas isyak hinggalah jam 11malam. Melepasi sahaja waktu itu, lampu dorm WAJIB ditutup. Kalau tidak, suara Umi akan kedengaran dengan kuatnya….”Dorm 12…Light off!!!” Tak ke malu kalau sampai ke Aspura(yang bertentangan dan hanya dipisahkan oleh Dewan Makan) dengarnya suara itu. Tambahan lagi, saya sebagai ketua dorm, mana mungkin mampu mengingkari arahan itu. Lalu, mahu atau tidak saya perlu mematikan lampu walau tersimpan niat untuk study lebih sikit. Sebenarnya, tabiat saya, suka tidur awal dan bangun di awal pagi untuk study. Namun, jadual yang rigid di asrama sama sekali tidak mengizinkan tabiat saya itu diteruskan.

***bersambung….=)

January 10th, 2009 at 8:42 pm | Comments & Trackbacks (0) | Permalink

Alhamdulillah…

Setelah sekian lama saya bertangguh-tangguh untuk menjawab soalan dalam post saya yang sebelum ini, akhirnya bergerak juga jari jemari ini…

*********

“Adik tak tahu ke ada yang datang tanya pasal ma? Tok imam. Dua orang lagi.”

“Hah, yeke Moksu?? Tak tahu pun. Ma tak cakap pun.”

Antara dialog saya dan maksu dalam perbualan telefon. Ketika itu saya sedang menghabiskan masa cuti di rumah akak. Patutlah ma nampak lain.. Dua hari sebelum itu saya sempat berjumpa ma di rumah akak sebelum ma pulang ke Kelantan. Ma nampak banyak termenung.

‘Mungkin ma tak nak aku susah hati, sebab tu ma tak bagitau aku.’ Gumam saya dalam hati.

Lalu saya menanyakan akak. Akak hanya mengangguk. Tanpa saya lengahkan masa, telefon dicapai, nombor ma ditekan satu persatu.

“Assalamua’alaikum ma. Adik ni.”

Ma seperti biasa sibuk menceritakan suasana kampung saya.

“Ada orang meninggal semalam. Ma baru balik rumah dia. Adik tak kenal rasanya…”

Tanpa dapat ditunggu-tunggu lagi saya menanyakan hal peminangan. Lama ma membisu. Lalu kesempatan itu saya ambil untuk meluahkan apa yang terpendam di sanubari ini.

“Ma, terima lah. Sampai bila ma nak duduk sorang-sorang? Sekurang-kurangnya ma ada tempat nak kongsi masalah anak-anak. Ni kalau skarang, ma pikir sorang-sorang je. Adik selalu susah hati pikir pasal ma. Kalau ma kawen, ada orang akan jaga ma. Sakit demam ma, adik dengan yang lain duduk jauh. Ma pun tak nak duduk dengan anak-anak….”

Panjang lebar saya memujuk ma.

Namun, akhirnya pabila keluar patah-patah perkataan dari mulut ma, saya terkedu.

“Cukuplah ma ada anak-anak. Ma tak nak cari pengganti arwah ayah, dan ma memang tak rasa perlu pun untuk cari pengganti. Nanti kalau ma kawen, susah ma nak pegi rumah anak-anak ma lama-lama.”

Saya lantas tersedar. Naluri saya tak akan sama dengan seorang ibu dan isteri. Kerna saya belum mengecapi rasa itu. Memang saya tak pernah dapat menyangkal yang ma terlalu setia dengan cintanya untuk arwah ayah. Jika itu pilihannya, biarlah… Saya rela terus hidup tanpa seorang insan bergelar ayah. Kerna kasih ayah itu telah tersemat dalam diri ma untuk dicurahkan buat anak-anaknya….

Kenangan ini juga membuatkan saya sedar betapa Allah Maha Penyayang..

Dia kabulkan doa saya. Namun, ada takdirNya yang tak dapat saya tidakkan…

Moga KasihNya tetap di sisi saya buat selamanya….

**********

Titipan kisah yang membuatkan saya sedar, cinta dan kasih itu terlalu suci nilainya…..

December 21st, 2008 at 1:50 am | Comments & Trackbacks (4) | Permalink

Soalan yang pernah ditanyakan oleh Kak Nik Aisyah (naqibah saya sewaktu di PJ yang sudah bekerja)… Setelah sekian lama tak berSMS dengannya,tiba-tiba entah macam mana terkeluar topik AYAH BARU…

Oh, baru saya teringat…

Ia bermula daripada rentetan Kak Aisyah menanyakan saya,

“Kak Aisyah rasa kini dah ada calon. Rasa macam dah tak sabar nak makan nasi minyak kini.”

Saya terkejut.. “Ish, Kak Aisyah ni. Mana ada lagi. Kini nak enjoy dengan ma dulu…Heeeee.”

“Bagusla kalau macam tu=)” Reply Kak Aisyah.

“Yela kak. Ma sunyi. Kalau orang lain, mak diorang ada suami untuk jadi teman suka duka. Tapi ma kini, sorang je. Sape lagi nak teman kalau bukan kini. Anak-anak yang lain semua dah ada kehidupan sendiri. Ma sejak dulu lagi tak pernah nak terima kalau ada orang laki yang nak lamar dia. Padahal, kami adik-beradik tak pernah halang pun kalau dia nak cari pengganti arwah ayah.”

“Kini ada keinginan nak ayah baru tak?”

“Tipu la kak kalau kini katakan kini tak rindukan kasih sayang seorang ayah. Dah 13 tahun ayah pergi. Tapi, yang paling penting bagi kini, ma. Teman seorang suami tak sama kan dengan teman seorang anak?”

“Betul,kini. Kalau kini nak ayah, kini doa lah banyak-banyak. Mak Kak Aisyah pun Alhamdulillah, baru je dapat pengganti arwah ayah. Walaupun setelah hampir 10 tahun hidup bersendiri.”

“Yeke??Alhamdulillah. Tu la.. Kini harap sangat ada orang yang dapat jaga ma masa kini tak ada kat rumah. Yela kan, KENA DOA BANYAK-BANYAK..Thanks kak=)”

“Moga kini dapat yang terbaik=)”

 

Jadi, saya pun berdoa lah..Kak Aisyah pesan..DOA BANYAK-BANYAK…

Kesudahannya???

InsyaAllah, saya akan ceritakan episod akan datang=)

Apa yang dapat saya katakan, ALLAH MAHA ADIL… Terlalu ADIL.. Sehingga kekadang kita hampir tak sedar akan keADILAN-NYA…

October 15th, 2008 at 10:44 pm | Comments & Trackbacks (5) | Permalink

‘Eid Mubarak for all Muslims around the world=)

Masih tak terlewat rasanya ucapan ini pada hari ke-9 Syawal bertandang mengambil alih tempat Ramadhan yang meninggalkan kita. Moga kita mampu mengecapi lagi kehadirannya pada tahun-tahun yang mendatang, insyaAllah…

Setiap seorang dari kita mempunyai kenangan Aidilfitri tersendiri. Walau bagaimana sekalipun coraknya, ia pasti takkan mudah untuk dilupakan…..

“Ma. Kepala adik sakit sangat.”

Lalu tangan si ibu terus memicit-micit kepala anaknya sehingga terlena di ribaannya

“Panas sangat dah ni. Kita pergi klinik ya. Dah makan panadol pun tak baik-baik lagi..” Si ibu memujuk si anak.

Di klinik… “Demam musim nie… Nanti baik la ni.” Ayat biasa seorang doktor..heeee

Singgah di restoran. Si ibu memesan nasi berlaukkan ayam bakar untuk anaknya. “Nasi separuh je ye dik. Satu bubuh udang. Satu lagi bubuh ayam bakar ye.”

Hanya tiga suap nasi yang mampu memasuki halkum si anak. Selebihnya, si ibu yang menghabiskannya. “Tak apa. Makan sampai mampu je. Yang tak abis, tinggal.”

Di rumah….

“Ma. Adik rasa macam nak makan sardin boleh tak ma? Yang tumis bubuh tomato, bawang besar. Lepas tu, perah asam limau nipis. Rasa macam sedap je..”

“Nak makan sardin…  Boleh. Nanti ma pergi beli. Kedai Kak Cik tu ada rasanya. Sardin cap ayam sedap. Nanti ma tanya dia ada tak…”

Tudung dicapai untuk si ibu melangkah ke kedai.

“Lagi… Rasa nak makan apa?”

“Tak nak pape dah.” Gelengan turut menyusul sambil mata memerhatikan si ibu yang  bersiap untuk ke kedai. Seketika, mata kembali terpejam menandakan tubuh memerlukan rehat…

“Dik… Bangun dik. Ma dah balik. Mari kita pergi dapur. Sementara tunggu ma masak sardin ni, boleh duduk sana. Nak makan biskut ke, kek ke, minum air milo ke… Jom bangun.”

Tangan si anak dipimpin ke dapur. Menjalarkan kasih sayang yang tulus murni buat zuriat yang pernah dikandungnya.

Di meja makan…. “Nak air milo? Ma buat…”

Si anak menggeleng.

“Ni ada lagi kek pisang raya ni. Ma potong ye..”

Si anak terus menggeleng. “Nak makan nasi dengan ikan sardin.”

Lantas si ibu teringat niat asal ke dapur. “Ok2. Nanti ma masak. Kejap je ni..”

“Ma… Nanti kita makan sama-sama ye.”

Si ibu mengangguk… “Boleh..” Sambil tersenyum.

Secebis kisah saya pada Aidilfitri tahun ini. Tambah menyedarkan saya erti kasih-sayang seorang ibu. Sebak makin terasa tatkala pipi ini diciumnya sebelum menaiki bas. Berat hati melepaskan puteri bongsunya dalam keadaan yang masih belum sihat sepenuhnya. Lalu, doa dititipkan buat perjalanan si anak sentiasa selamat menempuhi ranjau dunia.Kasih sayang yang tulus suci, tanpa pernah meminta sebarang ganti. Cukuplah dapat melihat si anak tersenyum gembira menghadapi hari-hari yang bernama kehidupan.

 Itulah Ma saya. Wanita yang paling hebat di kaca mata saya. 14 tahun bersendirian menunaikan amanah arwah ayah untuk membesarkan saya adik-beradik, hanya insan yang sanggup diuji mampu mengaharunginya seorang diri. Dan kekuatan yang saya ambil darinya lah yang menjadi bekalan saya ke mana sahaja. Saya ingin menjadi setabahnya…. Walau dia takkan membaca coretan saya di alam canggih ini, namun saya ingin semua insan yang bergelar anak tahu, insan yang melahirkan kitalah yang sepatutnya sering menerima ucapan sayang dari bibir kita…..

Adik sayang sangat kat Ma!!!

 

October 8th, 2008 at 6:40 pm | Comments & Trackbacks (11) | Permalink

“Emmm… Macam mana nak cakap yek. Tanya hati awak la. Yang tu paling kuat..”

Sering terdengar jawapan ni diberikan pabila kita terpaksa membuat pilihan..

 

Persoalannya…

Adakah hati boleh dipercayai??

Dan adakah tepat semua keputusan yang ‘diputuskan’ oleh hati???

Andai semua perkara semudah itu.. Takkan ada orang yang ‘patah hati’. Apatah lagi ‘makan hati berulam jantung’….

Jadi???

Pernah dengar tak lagu ni?? Lagu yang didendangkan oleh Hijjaz. Saya masih ingat lirik dan melodinya walau sudah terlalu lama ia menjengah ke dunia nasyid.. Lagu pertandingan nasyid yang saya sertai ketika masih bersekolah rendah.. Heeee…

 

“Pandangan mata selalu menipu..

Pandangan akal selalu tersalah..

Pandangan nafsu, selalu melulu..

Pandangan hati itu yang hakiki..

Kalau hati itu bersih…”

 

Ya, jawapannya ada dalam lirik lagu tu. Pandangan hati itulah yang hakiki.. Jika ada keraguan dalam membuat keputusan, tanyalah HATI..

Tapi… Ada tapi nya…

Teliti bait kata yang paling akhir…

KALAU HATI ITU BERSIH….

September 14th, 2008 at 10:18 pm | Comments & Trackbacks (10) | Permalink

Kelas NSA (Nutritioan Status Assessment) cancel!!!

Alhamdulillah… Heee…

Saya bukannya malas nak pergi kelas, tapi…

Ada satu hal yang perlu saya selesaikan..

Dan sekarang, Alhamdulillah semuanya sudah selesai. Saya ke Pejabat POS… Minggu lepas sudah ke sana dengan cik hasanah. Pada waktu itu.. Tunggu punya tunggu, sampai ke nombor giliran yang hampir seratus bezanya dengan nombor semasa, “Off line, dik..” dan kami pulang dengan senyuman yang… (Wallahu’alam apa maksud senyuman itu..huhuhuhu) ”Renew’ lesen yang masih berstatus L.. ;p masih tak berkesempatan untuk mengambil ujian JPJ. InsyaAllah, cuti akhir sem nanti akan saya selesaikan=)

Usai tugas diselesaikan, saya ke Kuantan Parade. Masih awal, sengaja mahu melihat situasi di sana seawal 9.30pagi. Tidak banyak kedai yang sudah mula beroperasi….

Kemudian, masuk ke The Store…

“Bila tiba Hari Raya… Semua insan bergembira…”

Lagu raya berkumandang. Hari ni 8 Ramadhan. Baru seminggu bulan penuh rahmat ini menjenguk kita, bagai tidak sabar-sabar pula kita memberikan lambaian ‘SELAMAT JALAN’ untuknya…

Pelik bukan???

SATU suasana yang sering menimbulkan pertanyaan buat diri saya sendiri… Timbunan ’shopping complex’ di seluruh Malaysia tidak mampu lagi menahan sabar untuk menggesa umat Islam menyediakan persiapan Lebaran… Hingga kadang-kadang Ramadahan seperti dilupakan. Hanya menjadi platform untuk kita membuat persiapan menyambut Aidilfitri…

Inikah yang sewajarnya???

September 7th, 2008 at 9:51 pm | Comments & Trackbacks (6) | Permalink

(sambungan mAsiH ada yG sYg…bhgn 1&2)

Andai dihitung satu persatu kenangan yang menghiasi zaman kanak-kanak saya bersama arwah ayah, tentu sahaja saya lebih rela membilang burung-burung yang berterbangan di angkasa. Ohhh.. Terlalu banyak kenangan itu. Namun, ia tak pernah jemu untuk dikenang….

Hanya satu yang bermain di fikiran ini… “Mengapa aku??”

Hari demi hari…

Di sekolah baru, saya dipertemukan dengan Suraya, seorang insan yang kehilangan ayah tersayang seawal usianya 4 tahun…. “Alangkah bertuahnya aku dapat bermanja lebih lama bersama-sama ayah.”

Kemudian, menginjak ke Darjah 5, saya mengenali seorang insan yang sangat bertuah pada saya. Punyai segalanya, keluarga yang bahagia, bijak dalam pelajaran, dilimpahi kemewahan.. Namun… Dia tak sempurna pada fizikalnya… “Alhamdulillah sangat, aku sempurna.”

Di saat PMR semakin menghampiri, dengan kem motivasi yang tersusun untuk dihadiri, seorang teman sekelas, yang juga merupakan Ketua Kelas saya kehilangan ibu yang tersayang…. Bayangkan bagaimana perasaannya menghadapi kehilangan pada saat-saat yang genting… “Nasib baik aku ada ma lagi.”

Berada di sekolah baru, tentunya jarak yang memisahkanku dengan ma makin mengajarku erti kematangan. Melangkah ke tingkatan 5, pelbagai tanggungjawab menghujaniku. Di saat debaran kian terasa pabila tiba ‘Trial SPM,’ seorang teman seperjuangan kehilangan ayah buat selamanya. Menjadi seorang ‘anak ayah,’ memang bukan suatu yang mudah untuk menerima hakikat dia tak lagi dapat dibelai manja. Setiap malam kami memujuknya pabila dia tak henti menangis keseorangan…… “Mungkin ini sebabnya Allah ambil ayahku lebih awal.”

Peperiksaan percubaan SPM menjelang. Saya masih ingat. Hari tersebut merupakan hari yang paling mendebarkan buat saya. Bukan kerana saya bakal menjawab subjek ‘Add Math’ yang saya gemari, tapi… Entah mengapa debaran di dada saya tak henti-henti seawal dinihari lagi. Rupa-rupanya, ia petanda satu-satunya atuk saya telah kembali padaNya. Kelu lidah saat mendengar perkhabaran ma dari telefon. Dengan suara yang ditahan-tahan, saya merelakan untuk tidak pulang. Perjuangan di SESTER perlu saya teruskan. Dan cucu yang tidak ada pada saat pengebumian atuk hanya saya dan Abang Ngah (seorang lagi sepupu saya yang sedang berjuang sama seperti saya di SM Sains Machang)… “Allah sayangkanmu, Sakini.” Itulah bisikan yang memujuk hati saya.

Berada di matrikulasi UIA, Petaling Jaya…. Saat untuk melangkah ke semester seterusnya di tahun 2.. Saya dikejutkan.. ‘Ayah Muiz  dah tak ada.’ Muiz merupakan sepupu yang paling rapat dengan saya. Mungkin kerana kami berada satu bumbung sejak dia masih kecil. Panggilan Ma turut dia gunakan untuk memanggil ma. Ketika itu, Muiz baru berusia 4 tahun. Bagai mengerti segalanya, dia mendekati ma.. “Ayah Iz dah tak ada ma. Sama macam ayah kak kini ngan kak eira kan??” Ma hanya mengangguk sambil menahan sebak…..

 

Ini hanyalah sebahagian rentetan peristiwa yang membawa saya mengenal erti syukur… Memandang tiap dugaan sebagai nikmat. Nikmat yang Allah sediakan untuk mendekatkan hambaNya kepada Yang Maha Agung.

Dan satu perkara yang sering saya pesan kepada diri sendiri…

“Pandanglah insan lain yang nasibnya tidak sebaikmu. Nescaya, jika dirimu sentiasa mendongak ke atas, akan jauhlah dirimu dari ERTI KESYUKURAN..”

~moga secebis kisah memberi secalit pengajaran~

September 7th, 2008 at 9:32 am | Comments & Trackbacks (0) | Permalink